Thursday, February 11, 2010

Ganti rugi RM11j: Felda Dapat Penangguhan Sementara

PUTRAJAYA 10 Feb. – Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) hari ini memperoleh penangguhan pelaksanaan keputusan Mahkamah Persekutuan yang memerintahkan agensi itu membayar ganti rugi RM11 juta kepada 354 peneroka sementara menunggu permohonan semakan terhadap keputusan itu diputuskan.

Penangguhan itu dibenarkan oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Mohd. Sheriff dan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Hashim Yusoff serta Datuk Raus Md Sharif.

Felda mengemukakan permohonan semakan itu mengikut Peraturan 137 Peraturan-peraturan Mahkamah Persekutuan selepas ia gagal mendapatkan kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan pada 19 Januari untuk merayu.

Mahkamah masih belum menetapkan tarikh pendengaran permohonan semakan itu.

Felda diperintah membayar ganti rugi kepada peneroka berkenaan berhubung pembayaran bagi buah kelapa sawit, yang didakwa oleh peneroka berkenaan telah dibayar pada harga kualiti lebih rendah oleh agensi itu, dari 1996 hingga 2002, mengakibatkan mereka menanggung kerugian.

Mahkamah Tinggi Kota Bharu memberikan pampasan (award) RM7.8 juta berserta faedah kepada peneroka terbabit selepas peguam yang mewakili agensi itu tidak hadir pada perbicaraan saman itu. Keputusan itu dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan.

Peneroka berkenaan menyaman Felda pada 2002, masing-masing menuntut antara RM20,000 dan RM30,000 sebagai ganti rugi am.



Sumber : Bernama

Tuesday, February 9, 2010

Program Mesra Felda 2010

Satu program untuk mendekati dan menyelami permasalahan warga Felda. Adakah warga Felda setuju program ini diteruskan atau mempunyai cadangan yang lain

Gedung Makanan Negara (GMN)....satu tranformasi Felda

Pelaksanaan projek GMN adalah satu usaha tranformasi oleh Felda. Namun adakah usaha pelaksanaan GMN ini boleh berjaya tanpa komitmen warga Felda ?

Thursday, March 12, 2009

Felda - Penubuhan & Matlamat

PENUBUHAN DAN MATLAMAT

Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan atau FELDA telah ditubuhkan pada 1 Julai 1956 di bawah Ordinan Kemajuan Tanah (Land Development Ordinance) 1956. Fungsi FELDA yang diperuntukkan di bawah Akta (Pindaan 1991) adalah seperti berikut:

- Menjalankan dan melaksanakan projek pembangunan tanah
- Memaju, memudah dan melaksanakan pembangunan, pengurusan dan perkhidmatan ekonomi, sosial, pertanian, penempatan, perindustrian dan komersial serta aktiviti sampingan yang lain di kawasan di mana Felda diberi kuasa melaksanakan projek pembangunan tanah atau di kawasan yang dimiliki oleh Felda dan syarikatnya.
- Melaksanakan kegiatan yang dapat membantu memodenkan sector pertanian di kawasan di mana Felda diberi kuasa mentadbirnya terutama dalam kegiatan yang berkaitan dengan pengeluaran, pemprosesan dan pemasaran hasil keluaran pertanian dan ternakan.
- Membantu, membimbing, menasihati, mengurus dan menyelaraskan kegiatan-kegiatan sosial, penempatan, pertanian, industri dan komersial dalam kawasan Felda.

Mulai bulan April 2004, FELDA diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri dan Menteri yang bertanggungjawab ke atas FELDA ialah Y.A.B. Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Timbalan Perdana Menteri Malaysia.